Mana satu pilihan hati

Ana bertanya kepada Umi, “mana satu pilihan hati, orang yang sayangkan kita atau yang kita sayang? ”

Umi jawab, “dua-dua bukan..”

Ana tercengang..Umi mengukir senyuman.

Pilihan hati Umi adalah yang sayangkan kita kerana Allah..” Ana menarik nafas dalam-dalam.

“Macam mana nak tau orang tu sayang kita kerana apa?” Umi diam sekejap berfikir dan kemudian tersenyum.

Rasanya umi dapat menduga apa yang sedang bermain dalam hati anak perempuannya. Mana mungkin ana mampu menyorokkan rahsia hati dari umi sedangkan sekilas ana pun umi mampu membacanya.

Yang paling tahu hanya Allah..” umi merenung dalam-dalam wajah anaknya. “Kerana hanya Allah mampu membaca hati hambaNya.. ” umi menyusun ayat-ayatnya. “Dan keikhlasan kerana Allah itu akan terserlah keberkatannya tanpa perlu sengaja ditonjolkan oleh seseorang tu..”

Ana memintas, “Tak faham..”

Umi menyambung “Cinta di dalam jalan Allah.. Bertemu kerana sama-sama mencari redha Allah..”

Umi menyambung lagi, “begini, setiap insan yang bergelar manusia telah Allah ciptakan berpasang-pasangan. Rasa ingin dikasihi antara seorang suami dan isteri suatu fitrah. Automatik boleh ada daya tarikan magnet tu..”

Wajah ana merah, sedikit cemas jika umi dapat mengesan gelora jiwa muda ini.. Umi menyambung

“Setiap manusia telah Allah tetapkan rezeki,jodoh dan maut sejak azali lagi..Persoalannya ialah.. Siapakah jodohnya itu?” Umi berhenti seketika. Ana tunduk malu, cuba menyorokkan rasa panas di pipi. Umi buat-buat tidak nampak.

“Kakak.. Jatuh cinta perkara biasa. Apabila kita jatuh cinta pada seseorang, itu tandanya ada sesuatu keistimewaan pada seseorang tu. Apatah lagi orang yang kita jatuh cinta tu di atas jalan dakwah ni..Tetapi kita kena ingat.. Kita tak akan dikahwinkan dengan seseorang atas sebab jatuh cinta atau saling cinta mencintai.. Bercouple mungkin.. Tetapi bukan berkahwin.. Kerana kita berkahwin dengan jodoh kita, jodoh yang Allah dah tetapkan sejak azali.. Dan tak mustahil orang yang kita paling benci itulah jodoh kita yang kita akan dikahwinkan dengannya..”

Tiba-tiba air mata ana mengalir. Argh! Ego ana kalah bila mendengar hujah umi. Umi meneruskan,

“Allah itu Maha Adil.. Dia tak pernah menzalimi hambaNya..Sesungguhnya, yang selalu menzalimi hambaNya ialah diri hamba tu sendiri.. Sebabnya hamba tu degil. Dia mahukan yang bukan haknya, yang bukan milik dia. Mencintai seseorang tidak semestinya memilikinya.

Dalam Islam, kita dah diajar untuk saling mencintai antara satu sama lain seperti diri sendiri.. Jadi apabila kita mencintai saudara perempuan, kita bebas peluk dia. Bebas menjaga dan mengambil berat tika dia sakit. Tetapi bila dengan lelaki yang bukan halal bagi kita, kita ada batas-batasnya. Orang kafir kata batas-batas ini suatu diskriminasi, tetapi sebenarnya batas-batas syariat itulah yang memelihara kehormatan seorang lelaki dan seorang perempuan. Cuba kakak renungkan, kita mengenali seorang insan yang amat baik, sempurna agamanya dan rajin. Lalu kita jatuh hati padanya. Ditakdirkan jodohnya dengan insan lain, kita pula dengan yang lain.. Tetapi itu tidak bermakna ukhwah antara kita dan dia terputus.. Kita dan dia sama-sama mencari redha Allah.. Kita dan dia masih boleh sama-sama bekerjasama untuk mencari redha Allah.. Perbezaannya, dia halal untuk isterinya sedangkan untuk kita, dia tetap lelaki ajnabi seperti yang awalnya.” umi berhenti seketika..

“Kakak.. jadi di sini umi nak kakak faham, jatuh cinta bukan perkara luar biasa.Dan berkahwin pun bukan suatu jaminan untuk tak jatuh cinta pada lelaki lain.. Kerana itulah ramai isteri yang curang, suami yang curang.. Ada orang tukar pasangan macam tukar baju. Apa yang penting ialah kita kena perjelaskan pada diri kita supaya setiap kali kita jatuh cinta, jatuh cinta itu kerana kita jatuh cinta kepada Pencipta dia. Kita bagi tau pada diri kita berulang kali yang kita mencintai Allah, kerana itu kita mencintai si dia. Letakkan Allah sebagai sempadan hati kita, segala perkara yang kita cintai dan sayangi termasuk umi abi adalah kerana mencintai Allah.. Dan apabila kita membenci seseorang atau sesuatu, beri tahu pada diri sendiri berulangkali yang kita benci sekian-sekian hal kerana Allah semata-mata.. ”

     

“Kakak.. Hati kita ni walaupun dalam dada kita sendiri, ia tetap bukan milik kita. Kita tak mampu untuk mengawalnya.. Hanya Allah yang boleh memegangnya.. Sebab tu kita kena dekatkan diri dengan Allah.. Sebab kita nak dia pegang kukuh-kukuh hati kita. Bila dia pelihara dan masuk dalam hati kita, itulah nikmat lazatnya bercinta. Masa tu biarpun satu dunia menyakiti kita, kita tak rasa sakit sebab kita asyik dengan nikmat bercinta dengan Allah..Bercinta dengan Allah sangat berbeza dari bercinta dengan manusia. Kerana tentulah pegalaman bercinta dengan lelaki kaya,rupawan, sempurna dan bijaksana tak sama rasanya bercinta dengan lelaki miskin, hodoh,cacat dan dungu.. Betapa nikmatnya cinta Allah, hanya mereka yang pernah merasai sahaja yang mampu mengerti. ”

“Kakak.. Walau siapapun jodoh yang Allah hantarkan untuk kakak, terimalah dengan hati yang redha.. Tak mustahil dia adalah orang yang kita benci. Kalau yang kakak sayang, tak jadi hal lah.. Tapi kalau dapat yang kakak tak nak, lantaran kelemahan yang ada pada dia, ingatlah bahawa dalam diri setiap insan telah Allah ciptakan dengan kelebihan masing-masing. Dan mungkin kakak ada kekuatan yang dapat mengubah si lelaki tadi supaya hidup dia bermakna dan mungkin kakak sahaja yang mampu mencungkil kelebihan yang ada pada dia.. Mungkin juga si lelaki ini ada sesuatu kelebihan yang kakak sangat-sangat perlukan yang satu dunia tak mampu bagi pada kakak.. Alangkah bertuahnya kakak kalau kakak mengerti setiap pemberian Allah dan belajar untuk bersyukur.. ” Sekali lagi berjuraian air mata ana turun. Terasa lemah lutut hendak berdiri.

Umi menarik tubuh ana dan memeluk erat. Pelukan umi sangat-sangat kuat. “Umi dah didik anak umi dari belum lahir untuk mencintai Allah.. Sekarang umi serahkan anak umi yang umi sayang sangat ni pada Allah untuk Dia pelihara..” Umi mengakhiri kata-katanya dengan suara sebak dan air mata yang mengalir ke bahu ana.

P/s:
-Ini entry copy n edit
-Semoga Allah memelihara ana, enta, enti, awak, kamu dan mereka. Moga dipelihara dan diikurniakan kesihatan yang baik, dipertingkatkan iman, dipertambahkan ikhlas, dilindungi dari fitnah dan maksiat, dibersihkan hati yang kotor, dimurahkan rezeki, ditetapkan hati dengan nikmat dunia serta dikurniakan segala yang dihajati.

0 comments: